Sunday, September 09, 2007

Sayang, Baby... panggilan manja semarakkan kasih

Sayang, Baby... panggilan manja semarakkan kasih
Oleh Hidayah Mohammad (hidayah@bharian.com.my)

Penggunaan perkataan romantis bukti sikap terbuka luah perasaan antara suami, isteri

DALAM sesebuah institusi kekeluargaan, panggilan suami kepada isteri dan panggilan isteri kepada suaminya memainkan peranan untuk mencapai keluarga bahagia. Pelbagai nama panggilan istimewa untuk suami dan isteri itu lahir daripada hati masing-masing malah ia berlaku secara spontan dan tanpa disedari.

Jika zaman dulu, lazimnya panggilan bagi suami ialah ‘abang’ sementara suami pula hanya memanggil isterinya dengan nama singkatan saja seperti ‘Mah’ atau ‘Nah’, namun ia tidak menjadi masalah kepada mereka. Jarang sekali kedengaran panggilan yang romantis seperti sayang yang ketika itu dianggap keterlaluan dan memalukan.

Bagaimanapun, perubahan zaman menyaksikan panggilan kedua-dua pasangan turut berubah kepada lebih kebaratan seperti darling, honey, baby, hubby, my dear dan sweetheart, selain panggilan manja seperti sayang. Perubahan itu menunjukkan masyarakat hari ini lebih bersikap terbuka dalam meluahkan perasaan mereka kepada pasangan.

Malah, ada juga yang memanggil suami dengan panggilan ringkas seperti awak dan you, mungkin kerana malu dengan orang di sekeliling.

Bagi penyampai radio HotFM, Faizal Ismail, 31, panggilan mesra terpulang kepada cara masing-masing dalam meluahkan perasaan antara pasangan suami dan isteri.

Katanya, panggilan isteri untuk suami dan suami kepada isterinya juga bergantung kepada cara mereka komunikasi. Ada juga yang menunjukkan tanda sayang dan hormat antara satu sama lain dengan memanggil panggilan mesra dan senang didengari.

Faizal yang memanggil isterinya, Norazlina Ahmad Din, 31 sebagai ‘Baby’ atau singkatan ‘bi’ berkata, panggilan itu lahir secara automatik dalam dirinya dan ia bermula sejak mereka bertunang pada 2000.

“Dulu, kami hanya kawan biasa kerana isteri adalah rakan sekelas ketika belajar dalam jurusan Komunikasi Media di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Ketika itu, kami hanya memanggil nama saja hinggalah saya melamarnya dan bertunang tujuh tahun lalu.

“Sejak mula bertunang, Lina memanggil saya ‘sayang’ sementara saya pula memanggilnya ‘baby’ atau ‘bi’. Bagaimanapun panggilan itu melekat dan menjadi kebiasaan kami hingga ke hari ini.

“Walaupun kami sudah mendirikan rumah tangga sejak enam tahun lalu dan memiliki seorang cahaya mata, Nur Khairina Iman berusia lima tahun, panggilan ini tidak berubah dan saya berharap tidak akan berubah,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Faizal yang kini menetap di Bandar Sri Damansara berkata, ketika berkawan mungkin agak segan untuk memanggil Norazlina dengan perkataan mesra itu, tetapi apabila sudah bertunang iaitu zaman bercinta panggilan berkenaan antara faktor dalam menguatkan hubungan mereka.

“Saya memanggil dengan panggilan itu kerana bagi saya ia lebih mudah dan ringkas. Bagaimanapun, panggilan ini tidak pernah membuatkannya tidak selesa,” katanya.

Sementara itu, Norazlina yang bertugas sebagai penulis skrip dan majalah sambilan, berkata beliau memanggil suaminya ‘sayang’ secara spontan sejak zaman bertunang lagi. Panggilan berkenaan lahir daripada hati tanpa paksaan, malah ia antara cara menunjukkan tanda sayangnya kepada suami tercinta.

“Sejak tinggal bersama, kami lebih mengenali antara satu sama lain. Dengan itu banyak jenis panggilan manja yang kami panggil antaranya ‘busyuk’ dan ‘over’. Panggilan berkenaan selalunya digunakan ketika bergurau senda ini ia menjadikan kami lebih mesra antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata, panggilan untuk suami dan isteri bagaimanapun bergantung kepada individu berkenaan. Nama mesra itu lahir daripada hati masing-masing dan perlu disebut dengan nada yang baik untuk menyenangkan kedua-dua pihak. Meskipun begitu, panggilan mesra itu perlulah bersesuaian.

“Sungguhpun begitu, ada beberapa panggilan mesra yang boleh mengelirukan anak. Contohnya ada pasangan memanggil ‘You’ (awak), dan secara tidak langsung panggilan You itu menjadi ikutan anak yang turut memanggil bapa dan ibu mereka ‘You’.

“Gejala ini tidak elok bagi anak kecil kerana mereka secara tidak langsung akan memanggil kedua ibu bapa dengan panggilan manja untuk suami dan isteri. Ini adalah sesuatu yang tidak sihat bagi perkembangan anak kecil daripada keliru,” katanya.

Beliau berkata, panggilan manja atau istimewa kedua-dua pasangan bagaimanapun terpulang kepada cara masing-masing malah panggilan berkenaan mampu mengeratkan hubungan suami isteri sekali gus institusi kekeluargaan.

“Bagi saya, kedua-dua panggilan iaitu ‘bi’ dan ‘sayang’ yang sering digunakan itu adalah panggilan mesra ketika bersama dan saya mengharapkan ia kekal hingga ke anak cucu,” katanya.

No comments: